Akan ada sesuatu yang dia simpan.
Akan ada sesetengah perkara dia sembunyikan.
Dan ada sesetengah perkara yang dia ingin kongsikan.
Siapa pun dia, segembira manapun dia,
Pasti ada perkara-perkara yang membuat dia terluka.
Pasti ada sesuatu yang pernah mengguris hatinya,
Pasti ada sesuatu yang pernah menjadikannya terus berduka.
Pasti ada, kerana dia juga manusia biasa.
Pasti!
Makanya,
Jika kamu menyangka bahawa hanya kamu seorang yang merasa,
Hanya kamu yang melaluinya,
Hanya kamu yang merasa hibanya,
Ternyata dirimu silap, dirimu salah!
Ada juga orang lain yang pernah melaluinya,
Bahkan ada orang lain yang pernah merasakannya.
Malah lebih dari apa yang kita pernah sangka.
Lebih perit dari apa yang pernah kita terima..
Pasti ada!
Cumanya,
Mungkin kita tidak pernah tahu.
Kita tidak pernah melihatnya,
Jangan selalu menganggap kitalah yang paling susah, paling payah
Kerana ada insan lain yang lebih besar ujiannya, lebih hebat penderitaannya.
Maka, sudahlah.
Kesatlah air matamu,
Waktu serumit mana situasi kamu, pujuklah hatimu.
Yakinlah Dia ada, dan pasti Dia sentiasa menemani kita.
Apabila kita menyandarkan segunung harapan kepadaNya,
Pasti, Dia tidak akan mempersiakan harapan kita.
Selagi matahari barat belum terbenam.
Selagi itu masih ada harapan.
Maka, teruskanlah kehidupan.
Kerana hakikat kehidupan mahupun kamatian..
Tercipta ia sebagai satu ujian..
Ujian bagi mereka yang benar-benar beriman!
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan
menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan
Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang
bertaubat)."
Kebahagiaan mahupun ketenangan.
Dua perkara yang selalu menjadi buruan.
Satu cita-cita, impian, malahan harapan setiap insan.
Alangkah indahnya kehidupan, andai jiwa ini sentiasa berpimpinan tangan, didampingi
rasa ketenangan, dan kebahagiaan yang tidak bertepian.
Siapa tidak mahu bukan?
Namun, ia bukan semudah yang disangkakan.
Kebahagiaan; Satu frasa kata yang mudah diungkapkan, tetapi sering sahaja disalah
tafsirkan.
Akibatnya, kebahagiaan itu seolah-olah menjadi satu angan-angan yang sukar dan tidak
kesampaian.
Benarkah sebegitu sukar?
Di manakah silapnya?
Pernah saya terbaca kata-kata yang cukup memberi makna mengenai persoalan ini.
“Hakikatnya manusia bukan tidak mampu
mengecapi kebahagiaan hakiki, tetapi manusia itu sendiri tidak pasti apa erti
kebahagiaan yang sejati”
Jadi, mari bersama-sama saya.
Menempuh satu kembara, perjalanan mencari kebahagiaan yang kita sama-sama
impikan.
Bukan melihat kebahagiaan dari tafsiran insan, tetapi memandangnya dari sudut
berlainan.
Pandangan ‘Pemilik Kebahagiaan’, yakni dalam kalamNya Al-Quran.
Sekadar satu perkongsian.
Semoga di akhir nukilan ini, kita sama-sama mampu melakar senyuman,dan
tersenyum sendirian.
Mengerti erti kebahagiaan yang sejati,lagi hakiki.
Senyum!
Tersalah Kefahaman, Tersesat Jalan?
Tersesat jalan?
Sebelum kembara ini bergerak dengan lebih mendalam, mari sama-sama menyelami
kehidupan hari ini.
Tafsiran manusia yang tersalah mungkin, dalam mencari kebahagiaan yang mereka
impikan.
Dengan memiliki kefahaman,ianya akan melahirkan tindakan.Andai tersilap kefahaman, pasti tersalah juga tindakan bukan?
Lihatlah kehidupan, perhatikan, dan tafsir dengan akal fikiran.
Betapa ramai mengejar kekayaan, kenamaan, jawatan, dan gelaran dengan harapan
semua itu membawa diri mereka pada rasa kesenangan dan kebahagian yang
dicari-cari.
Ramai manusia memperoleh kenamaan, akhirnya ada yang membunuh diri.
Ramai manusia memiliki kekayaan, tetapi jarang sekali merasai ketenangan.
Ramai pelajar memperoleh kejayaan dalam pelajaran, jiwa tetap terasa kosong dan
gersang.
Lihatlah, impak kebahagiaan sangkaan manusia yang selalu dikejarkan.
Mengapa berakhir dengan peristiwa sedemikian?
Satu persoalan buat diri, juga buat sahabat sekalian.
Sumber Kebahagiaan: Datangnya Dari Luaran?
Perlu diperincikan di sini, agar kita dapat melihat satu garis pemisah sumber
kebahagiaan yang sebenarnya dengan lebih jelas dan mudah.
Kebahagiaan, bukanlah sesuatu bersifat fizikal ataupun lahiriah.Hakikatnya,
jelas ia bersifat dalaman ataupun rohaniah.
Ibarat iman yang kian kosong dan gersang, mana mungkin dapat diubati dengan makanan walaupun dengan nasi berpinggan-pinggan.
Jiwa yang tidak sihat, sekadar 'plaster' mampu terubat?
Sesuatu yang bersifat rohaniah, pasti penawarnya bersifat rohaniah juga.
Begitu juga bagi perkara yang sebaliknya, pasti elemen yang sama sebagai ubatnya.
Maka, jelas dapat kita sama-sama perhatikan bahawa kebahagiaan tidak mungkin
mampu dikecapi dengan kekayaan, rupa menawan, jawatan, gelaran, dan semua yang
bukan bersifat dalaman.
Jadi, apakah rahsia sebenar kebahagiaan?
Ayuh, marilah kita sama-sama menyingkap karya cintaNya yang telah diturunkan
lebih 1400 tahun dahulu, yakni dalam Al-Quran.
Rahsia Kebahagiaan: Rasa Bertuhan, Punca Ketenangan
Sumber kebahagian, hakikatnya
Allah telahpun menyediakan jawapan buat hambaNya tanpa perlu kita memerah
keringat untuk mencarinya.
Al-Quran, sumber rujukan kehidupan
Tinggal kita untuk membaca, memahami, dan menghayati setiap kalamNya.
"...Sesungguhnya dengan mengingati
Allah itu hati akan menjadi tenang."
[Surah
Ar-Ra'ad 13:28]
Segalanya sudahpun jelas dirakamkan
dalam Al-Quran, tinggal kepada diri kita sama ada mahu menjadikannya sebagai panduan
kehidupan mahupun sebaliknya.
Maka, andai jiwa tidak bahagia sebelum ini, sedarlah kehidupan kita yang
sebelum ini terlalu jauh daripada rahmat dan kasih sayangNya.
Tidakkah kita merasakannya?
Sedangkan hakikat yang sebenar, Dia sangat dekat!
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya
kepadamu tentang Aku, maka (ketahuilah) bahawasanya Aku adalah DEKAT. Aku
mengabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila berdo’a kepada-Ku, maka
hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu
beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
[Al Baqarah 2:186]
Barangkali dosa kita, menjauhkan lagi jarak kita dengan Maha
Pencipta.
Penutup : Perbaiki hati, Temui
Kebahagiaan Sejati
Kesimpulannya, kebahagian
sebenarnya terlalu dekat. Malah sangat dekat dari apa yang kita sangkakan.
Namun, sejauh mana dekatnya kebahagiaan itu bergantung kepada betapa akrabnya
hubungan kita dengan Tuhan. Dekatkan hati ini denganNya, pasti kebahagiaan
terasa.
Hakikat yang harus diterima, demi merasai sendiri kebahagiaan sejati bukannya mudah. Segalanya perlukan mujahadah dan istiqamah. Maka, perlunya kebersamaan dalam kita berusaha , agar kekuatan dapat dijana dan dipacu sebaiknya.Membaiki hati, agar iman sentiasa subur di dalam diri.
Akhir kalam, semoga hari-hari yang mendatang mampu kita sama-sama mampu mengukir senyuman dan menggapai kebahagiaan yang kita idam-idamkan.
Kebahagiaan bukan hak milik ekslusif para hartawan, rupawan, mahupun insan berjawatan, kerana ia adalah
hak milik semua insan yang jiwanya adanya Tuhan. Ianya milik saya, anda, malahan kita semua.
Selagi mana hatinya subur dengan iman, pasti Allah mencurahkan kebahagiaan!
Catatan kali ini, terasa ingin melakukan satu kelainan.Berlainan dari kelaziman. Mengubah satu pandangan perspektif kepada satu dimensi pandangan yang sedikit berbeza. Bukan untuk mencari kelainan, tetapi agar perbezaan itu mampu menyumbang ke arah kesempurnaan cara kita melihat sesuatu kebenaran. Hakikatnya, kelainan itu perlu agar 'titik buta' mampu ditangani secara bersepadu. Semakin banyak sudut pandangan, semakin luaslah keterbukaan minda kita dalam memandang dan menangani satu-satu isu.Andai kata pandangan ini ada cacat celanya, maaf dipinta. Diri ini juga manusia biasa.