Assalamualaikum
Hahahaha..!!!
“ Eh ,apasal bilik ko bersepah gile ? Mengalahkan tongkang pecah kena tsunami je aku tengok ! Nasib baik laa takde bangkai tikus yang mati aku jumpa dalam bilik ko ni. Dahsyat betul sepahnye...!”
“Eleh ko ni macam tak biasa pulak, nama pun bilik bujang. Bilik ko pun sama je. Macamlah bilik aku sorang je kat dunia ni yang bersepah. Standard ar macam nie. Kalau tak takde la namanya bilik bujang.”
Mungkin ada yang geli hati mahupun tersengih-sengih apabila mendengar perbualan tersebut. Namun, itulah hakikat yang sebenarnya terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini.
Bilik Orang Bujang ?
Terpanggil untuk penulis berkongsi mengenai hal ini kerana ia terlalu sinonim dengan kehidupan orang bujang sekalian termasuklah diri ini. Acapkali kita mendengar ungkapan ini dilafazkan oleh golongan yang hidup membujang. Istilah Bilik Bujang = ‘Bersepah Itu Standard’ tidak pernah dicatatkan secara bertulis dalam mana-mana kandungan kitab mahupun Kamus Dewan Edisi 1,2,3, dan 4. Berdasarkan pemerhatian penulis, ia dijelmakan hasil budaya yang diamalkan oleh masyarakat itu sendiri.Bukan maksudnya di sini semua bilik orang bujang itu semestinya bersepah, tetapi sebilangan daripada mereka begitu.
Seharusnya,ideologi ini sepatutnya perlu dikikis dari minda para belia zaman sekarang kerana ia secara jelasnya bukan satu budaya yang baik. Persoalannya di sini,bukannya sama ada bilik bujang atau tidak.Yang jadi persoalannya ialah adakah ia satu budaya yang sihat yang sepatutnya ditonjolkan oleh diri seorang manusia yang hidup membujang, malahan lebih utama dari itu iaitu adakah ini satu budaya yang harus dicerminkan oleh golongan ini sebagai seorang Muslim .
Wahai Muslimin yang bujang sekalian, mari kita bersama-sama menyingkap persoalan ini. Semoga ia dapat menambah satu ilmu kesedaran di sini.Tidak dapat banyak,sedikit pun jadilah.
Kebersihan Sebahagiaan Daripada Iman
Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya’arie r.a. beliau berkata:
Rasulullah SAW telah bersabda:
“Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan.Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Qur’an itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya.”
Riwayat al-lmam Muslim.
Islam amat menitikberatkan soal menjaga kebersihan, sehingga menganggapnya sebahagian daripada iman. Persoalannya, mengapa ia dianggap sedemikian rupa? Dalam menjalani kehidupan seorang hambaNya, perkara pertama yang kita wajib jelas ialah tujuan hidup seorang manusia dijadikan di muka bumi ini.
“ Dan tidaklah Kami ciptakan jin dan manusia itu melainkan hanya untuk beribadah (kepada Kami).”
(Az-Zariyat :56)
Ya, hanya untuk beribadah kepadaNya.Bila kita membicarakan mengenai ibadah, masakan kita mahu beribadah dalam keadaan suasana persekitaran yang kotor, bersepah, dan tidak kondusif. Lambakan baju tergantung sini sana, tuala tersangkut di besi katil,dan tidak kurang hebatnya gunungan buku berselerak dan bertimbun di atas meja study.Cuba kita bayangkan bagaimana kita mahu mengulangkaji (belajar pun ibadah yer ) dengan penuh bersemangat jika bilik pun tidak ubah seperti baru dilanda ribut taufan. Apatah lagi ibadah khusus yang wajib kita tunaikan setiap hari seperti solat lima waktu. Mampukah kita khusyuk dalam keadaan tersebut? Ditambah pula menjaga kebersihan itu sendiri sudah menjadi satu ibadah.
Huh, ada orang nak ziarah !
Tambahan, sekiranya ada pihak luar mahupun sahabat melawat kita secara mengejut. Tidak segan dan malukah kita dengan keadaan bilik sedemikian rupa. Sudah tentu persepsi yang dilihatnya terhadap kita menjadi rendah. Lebih-lebih lagi sekiranya bilik yang dilawatinya itu merupakan bilik pelajar yang beragama, mahupun yang mengikuti usrah!
Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul
Istilah ‘Bilik Bujang = Bersepah Itu Standard’ sepatutnya dikikis dan dihapuskan dari kamus hidup pemikiran manusia terutamanya dalam kalangan remaja Muslimin yang hidup membujang. Hakikatnya, tiada siapa di muka bumi ini suka kepada kekotoran dan cintakan kebersihan. Tidak percaya? Di sini saya sertakan dua gambaran bilik bujang. Cuba tanya diri kita masing-masing, bilik manakah menjadi pilihan hati anda ?
Pilihlah mana satu yang bagus !
Bilik yang bersih dan kemas umpama kehijauan alam sesejuk mata memandang. Berbanding bilik yang bersepah, nescaya fikiran kita akan bercelaru,berserabut, dan tidak tenang.Sesungguhnya fitrah manusia itu cintakan kebersihan. Tiada manusia yang membenci pada sifat kebersihan kerana itu sudah tentu bertentangan dengan fitrah kemanusiaan itu sendiri.
Sebenarnya,ia bukan sekadar budaya yang mulia. Jauh tersirat intipati yang terselindung dari sikap ini ialah sekiranya kita sentiasa terbiasa dengan persekitaran yang kotor dan bersepah, hati kita akan mula kehilangan rasa sensitif. Hilang sensitif terhadap keadaan sekeliling. Dari situlah segala perkara yang kita lihat tidak baik menjadi satu kebiasaan. Jangan biarkan diri kita diselubungi budaya tidak sihat ini agar kita tidak lemas dan akhirnya menjadikan ia satu perkara yang biasa biarpun ia tidak sepatutnya diamalkan.
Jadi di sini jelas kita lihat, tiada sebab untuk kita membiarkan bilik kita terus dilanda kemarau ke’sepah’an yang berpanjangan. Seperti yang penulis sampaikan tadi, amalkan konsep ‘Betulkan Yang Biasa, dan Biasakan Yang Betul. Tindakan yang salah ialah terus membiarkan bilik itu dalam keadaan tidak terurus, dan tindakan yang betul ialah sentiasa menjadikan bilik itu sentiasa dalam keadaan terbaik dan tercantik. Perlu disedari bahawa yang ingin tinggal di bilik itu ialah manusia, bukannya binatang. Sedangkan kandang kambing pun selalu dibersihkan oleh penternak, apatah lagi bilik yang ingin didiami oleh makhluk bergelar manusia.Fikir-fikirkan.
Bakal Pemimpin Keluarga
Hidup bujang hanya sekali. Memang tidak dinafikan fakta tersebut tetapi, ia bukanlah menjadi satu lesen besar untuk kita membiarkan bilik kita bersepah. Seharusnya,kita perlu sedar bahawa hidup membujang itu bukan selama-lamanya.Apabila sampai tika dan masanya kitalah akan menjadi ketua keluarga.
Tukang kemas vs Tukang Sepah?
Di saat hidup berumah tangga, adakah pada masa itu kita barulah berubah merangkak-rangkak belajar menguruskan rumah? Mungkin ada pihak boleh mengatakan,
‘Mengemas Rumah = Kerja Perempuan’.
Perlu disedari hakikat pada zaman ini, kebanyakan para isteri turut keluar mencari nafkah untuk keluarga. Penat lelah pulang dari kerja belum hilang, ditambah pula dengan bebanan menguruskan rumah yang tidak terlangsai lagi sudah tentu meletihkan. Hakikatnya, mereka juga manusia biasa.
Tidak salah membudayakan amalan mengemas !
Wahai pemuda Muslimin yang masih bujang sekalian, apa lagi? Belajarlah untuk membiasakan budaya mengemas sekecil-kecil bilik kita sendiri sebelum diaplikasikan dalam kehidupan berumah tangga akan datang. Jika perkara sekecil ini tidak mampu diuruskan, apatah lagi perkara yang lebih besar. Kini, ada lebih sebab untuk golongan bujang membiasakan dengan budaya kekemasan bilik.Bukankah begitu ?
Penutup : Niatkan Kerana Allah
Akhir kata, betulkan yang biasa,biasakan yang betul. Bukan mudah untuk beristiqamah tetapi ianya juga tidak mustahil. Anggaplah ia sebagai satu ibadah, niat lakukannya kerana Allah, nescaya itu mampu memberi dorongan yang kuat kepada kita dalam membudayakan amalan mulia ini. Siapa tidak mahu perbanyakkan ibadah kepadaNya? Tiada siapa bukan. Jadilah seorang Muslim bujang yang menerapkan sepenuhnya nilai Islam dalam kehidupannya.
Semoga mendapat sesuatu dari perkongsian ini. Tiada harapan menggunung dari penulis, hanyalah mengharapkan pembaca menyayangi diri mereka dengan membudayakan ibadah murni ini sebaiknya sebagai seorang Muslim yang sejati.
Assalamualaikum