Tempah buku 'favourite' anda di sini

Nama:
Umur:
Email:
No telefon
Alamat:
Tajuk buku/Penulis/Penerbit + Kuantiti:
Cadangan penambah baikan:

This contact form was created by Freedback.

Selasa, April 26, 2011

Satu Malaysia Satu Ummah ; Apa kata kalian?


Assalamualaikum

Alhamdulillah, masih kita dipertemukan kembali pada saat dan tika ini. Semoga sahabat-sahabat dalam keadaan sihat sejahtera. Pada perkongsian ini, berminat untuk saya berkongsi satu hasil penulisan saya yang tidak seberapa ini setelah beberapa penelitian dan kajian mengenai satu gagasan yang amat menarik untuk dibincangkan bersama-sama yakni gagasan 1 Malaysia.


~ 1 Malaysia ~

Perkara pertama yang ingin ditekankan di sini ialah hasil penulisan ini hanyalah merupakan satu kajian yang tidak seberapa sempurna yang dihasilkan oleh seorang hambaNya yang tidak sempurna. Sekiranya ada tersalah kata tersilap di mana-mana, saya sudi menerimanya dengan hati yang terbuka. Ini hanyalah sekadar pandangan terbuka yang saya hasilkan setakat ini. Semoga artikel yang tidak seberapa ini mampu membuka minda kita bukan sahaja kerana kita bangsa Malaysia, tetapi juga sebagai hambaNya di muka bumi ini.


~ Selamat Membaca ~


1 Malaysia,1 Ummah; Sejauh mana dihayati?

            1 Malaysia 1 Ummah; satu rangkai kata yang memberi 1001 persoalan kepada kita. Pelbagai persepsi mampu dijelmakan dari buah fikiran masing-masing berhubung dengan tema maulidul rasul pada kali ini.Biarpun tafsiran kita mengenainya berbeza tetapi secara zahirnya jelas ia merujuk kepada satu kefahaman ke arah pembentukan kesatuan dalam masyarakat berbilang kaum di negara kita ini. Namun, apa yang lebih penting dari itu sejauh manakah tindakan dan usaha kita sebagai rakyat Malaysia yang memurnikan kehidupan dalam masyarakat berbilang kaum di negara tercinta ini berdasarkan tema tersebut.
            
        Jika dilihat senario masyarakat pada hari ini, pelbagai agama, bangsa, bahasa,warna kulit, dan adat resam jelas diperlihatkan dalam ciri kepelbagaian masyarakat di negara kita. Namun apa yang menariknya, jurang perbezaan yang ketara itu tidak menjadi masalah yang kronik untuk kita terus hidup dalam suasana yang harmoni dan aman damai.Kita bahagia hidup berjiran, bersahabat serta bermesra antara satu sama lain.Seharusnya,kepelbagaian ini seharusnya dilihat sebagai satu kekuatan dan kelebihan yang kita miliki bersama-sama.


~ talian ukhuwah persahabatan ~           

     Di samping itu,jika kita menyingkap sejarah Malaysia perpaduan dalam masyarakat sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting.Tarikh keramat pada tanggal 31 Ogos 1957 itu sendiri sebagai bukti yang nyata bahawa permuafakatan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa memainkan peranan utama dalam menjayakan perjuangan kemerdekaan. Manakala peristiwa hitam yang harus diambil iktibar bersama-sama ialah peristiwa 13 Mei 1969 yang juga dianggap sebagai tragedi berdarah yang pernah berlaku di negara kita kerana kegagalan kita sendiri untuk terus memupuk perpaduan nasional dalam kalangan masyarakat.
           

~ peristiwa bersejarah negara ; Hari Kemerdekaan ~

          Selain itu, perjuangan jentera kepimpinan negara yang terkini  yang diketuai sendiri oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak haruslah disokong dan diterima oleh umum iaitu gagasan konsep ‘1 Malaysia’ yang berpaksikan prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Apa yang ingin ditekankan di sini ialah gagasan itu sendiri secara zahirnya juga dapat ditafsirkan sebagai satu medium yang digunakan oleh ketua pemimpin kita ke arah mewujudkan kesatuan dan perpaduan dalam masyarakat yang berbilang bangsa di Malaysia ini. Usaha murni kerajaan ini seharusnya disambut baik oleh seluruh rakyat agar segala usaha bagi memupuk perpaduan dan mewujudkan satu  bangsa idaman menjadi satu realiti.

~ perpaduan mendatang keceriaan dan kebahagiaan setiap insan ~
           
      Namun sudah menjadi lumrah kehidupan bukan semua usaha yang dilaksanakan mampu untuk memuaskan hati semua pihak. Pelbagai kritikan dan cemuhan lantang disuarakan di akhbar-akhbar pihak pembangkang khasnya mengenai usaha kerajaan ini. Sememangnya tidak dapat dinafikan, walaupun Gagasan 1 Malaysia itu berprinsipkan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, masih banyak masalah timbul dan tidak dapat diselesaikan oleh pihak kerajaan. Isu subsidi, masalah sosial yang kian meruncing, rasuah yang berleluasa, dan sebagainya menjadi topik hangat yang sering disuarakan. Usaha yang dilakukan oleh kerajaan seolah-olah kurang membuahkan hasil yang seperti mana yang diharapkan oleh masyarakat.
            
          Sebenarnya, sikap negatif dengan menyalahkan antara satu sama lain ini seharusnya dihapuskan dalam pemikiran seluruh masyarakat  kerana ia tidak memberi sebarang kebaikan kepada mana-mana pihak. Hakikatnya, dalam jangka masa panjang semangat assabiyah dan berpuak-puak itu menjadi semakin parah dan perpaduan dalam kalangan rakyat akan menjadi kian longgar saban hari. Permasalah yang dibangkitkan tanpa kerjasama daripada semua pihak untuk bersama-sama menanganinya akan menghasilkan satu jalan penyelesaian yang buntu. Sewajarnya, dalam membentuk minda masyarakat kelas pertama kita sebagai warganegara yang cintakan tanah airnya sepatutnya perlu sebulat suara memperjuangkan keamanan dan memupuk kesedaran perpaduan dalam kalangan masyarakat kita sendiri lebih dari kita memperjuangkan kepentingan lain seperti kepentingan politik, kedudukan, pangkat, dan sebagainya.

~ sikap menyalahkan orang lain ~
            
         Tahun demi tahun juga, tanpa kita sedari sudah lebih setengah abad negara kita mencapai kemerdekaan. Tampuk kepimpinan negara kini bertukar silih berganti lagi.Setiap pemimpin yang hadir masing-masing membawa ideologi dan pendekatan yang berbeza bagi merapatkan lagi jurang perbezaan antara kaum di Malaysia.Dato’ Mahathir dengan ideologi Wawasan 2020, Dato’ Abdullah Ahmad Badawi dengan Islam Hadhari dan yang terkini, Dato’ Mohd Najib Tun Razak melalui Gagasan 1 Malaysia. Namun, persoalan yang timbul di sini apakah sebenarnya pelaksaaan yang paling tepat bagi merapatkan hubungan hampir 30 juta rakyat Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya ini?


~ penyelesaian terbaik ???? ~
            
            Seharusnya, kita perlu menyingkap kembali lembaran sejarah segala usaha  yang dilakukan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW  dalam membentuk sebuah negara Islam pertama. Negara Madinah itu sendiri pada awalnya terdiri daripada pelbagai kaum,bangsa, dan agama. Jurang perbezaan yang ketara ini menyebabkan mereka selalu bertelagah  antara satu sama lain dan mengukuhkan lagi semangat assabiyah dalam kalangan mereka. Namun sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, baginda telah berjaya mengatasi masalah ini dengan bijak dan menjadikan jurang perbezaan dalam kalangan masyarakat itu bukan sebagai kelemahan tetapi sebagai satu sumber kekuatan dalam pembinaan kerajaan di Madinah Al-Munawwarah.


~ pemandangan indah Kota Madinah ~
      
          "Pemimpin yang hebat bukanlah seorang pemimpin yang mahu dipandang hebat oleh semua pengikutnya, tetapi atas sebab kepimpinannya yang hebat, pemimpin itu dipandang hebat oleh seluruh pengikutnya".

            Perkara inilah yang berjaya ditonjolkan oleh baginda selaku ketua kerajaan negara Islam yang pertama di dunia dengan jayanya. Semasa awal pembentukan kerajaan ini, perkara yang dititik beratkan dahulu oleh Rasulullah SAW ialah memberi tumpuan kepada pengukuhan ikatan persaudaraan dan ukhuwah dalam kalangan umat Islam itu sendiri. Pada masa itu, kaum Muhajirin dan Ansar telah berjaya disatukan dengan ikatan tali persaudaraan yang kukuh dan mantap. Asas kesatuan ini bukannya kerana Rasulullah tetapi lebih tepat lagi kerana inilah yang sangat dituntut dalam agama Islam. Malahan, dua kumpulan yang berbeza latar belakang ini menerima seruan perpaduan yang dianjurkan Rasulullah tanpa banyak soal malah kaum Ansar rela menyerahkan harta benda mereka kepada kaum Muhajirin untuk memulakan kehidupan baharu di Madinah.

Setelah pengukuhan talian persaudaraan kaum Muslimin di Madinah, Rasulullah dengan bijak bertindak setapak lagi ke hadapan. Selepas itu,gerakan mempersaudaraan kaum Muslimin dan penduduk lain di Madinah (masyarakat Yahudi dan Nasrani) menjadi tumpuan baginda agar semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Madinah terus dapat dipupuk dan diperkukuhkan.Malahan, usaha ini tidak berhenti di situ tetapi menjangkau kepada pengukuhan hubungan dengan penduduk di sekitar Madinah terutamanya dengan penduduk Mekah (kaum Quraisy) yang sentiasa melihat Madinah dengan pandangan iri hati. Usaha ini akhirnya membawa kepada pembentukan Piagam Madinah, yang dicatatkan sebagai perlembagaan sebuah negara yang pertama digubal di dunia.

Berdasarkan kronologi yang dibincangkan di atas, jelas dapat dilihat banyak perkara yang boleh dijadikan iktibar dan rujukan dalam membina sebuah negara bangsa yang mantap . Antara pengajaran yang harus diberi penekanan lebih ialah dalam usaha memupuk perpaduan,nilai perpaduan dalam kalangan umat Islam sendiri perlulah diperkukuhkan terlebih dahulu dan diletakkan sebagai agenda utama. Selanjutnya, agenda membentuk perpaduan antara masyarakat Islam dengan kaum lain di Malaysia diteruskan dan dipupuk dalam masyarakat. Dalam erti kata lain, kalau kita tidak mampu bersatu dalam kalangan kita, mana mungkin kita boleh bersatu dengan kaum yang lain.



Walau bagaimanapun jika dilihat dari segi kehidupan masyarakat Islam itu sendiri pada masa sekarang,sangat berbeza dengan apa yang sepatutnya ditonjolkan. Keadaan yang sungguh memilukan kini  ialah keadaan masyarakat Islam itu sendiri tidak bersatu padu dan  sanggup menjatuhkan antara satu sama lain walhal mereka itu merupakan saudara seagama. Atas perbezaan pendapat, kefahaman politik, pangkat, kedudukan, dan sebagainya menyebabkan umat Islam itu berpecah-belah. Pelbagai cara dilakukan untuk menjatuhkan lawan seolah-olah matlamat menghalalkan cara.Fitnah pula disebarkan secara meluas,walhal dalam Islam itu sendiri menyatakan dosa menfitnah itu lebih besar dari membunuh. Penghinaan dan dilakukan secara terbuka sedangkan Islam sangat menegah perbuatan tersebut. Kelemahan pihak lawan ditelanjangi sesuka hati malah hakikat yang terang disembunyi. Lebih menyedihkan, usaha ini ada penyokongnya. Malah, ada juga yang sedia menyebarkannya.



            Sebenarnya, kelemahan umat itu sendiri berpunca dari diri umat Islam sendiri. Terlalu banyak perkara yang menjadi perbezaan di antara kita diperjuangkan sedangkan kita lupa bahawa hakikatnya umat Islam itu sendiri diikat pada satu kesamaan, satu kesatuan paling murni iaitu agama Islam yang suci lagi sempurna. Jadi kenapa kebanyakan daripada kita terlalu memilih untuk melihat kepada jurang  perbezaan sedangkan hakikat persamaan ini diketepikan sejauh mungkin? Tidakkah semua ini berlawanan dengan pandangan hidup yang telah dididik ke atas kita sedari kecil lagi? Bukankah dalam pandangan hidup Islam mengajarkan kita untuk mencapai kesatuan berbanding perpecahan? Namun, sayu untuk dikatakan di sini bahawa ramai Muslim yang menyedari kebenaran ini tetapi akhirnya mengambil jalan sebaliknya demi kelangsungan diri di dunia. Tidakkah ini amat menyedihkan?

~ mari lihat apa yang terkandung dalam Al-Quran ~


Dalam Al-Quran, Allah telah berfirman dalam satu ayat yang bermaksud :- 

Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.Sekiranya ahli kitab beriman tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman namun kebanyakan mereka adalah orang-orang fasik.” (Surah Al-Imran 3:110).

Terang lagi bersuluh dalam Al-Quran menyebut bahawa umat Islam itu merupakan umat yang terbaik, kerana umatnya menyuruh dalam membuat yang baik dan meninggalkan kemungkaran. Kini,satu persoalan terdetik dalam fikiran kita adakah umat Islam yang digambarkan dalam ayat tersebut sebagai umat yang terbaik sama seperti apa yang digambarkan dalam situasi masyarakat Islam pada masa kini?  Atas dasar inilah kemungkinan, masyarakat lain di Malaysia ragu-ragu untuk benar-benar bersatu dengan masyarakat Islam kerana masyarakat Islam sendiri tidak menunjukkan contoh perpaduan yang baik.Seharusnya, tanggapan sebegini rupa haruslah dikikis dari minda masyarakat lain di negara kita ini agar martabat umat Islam itu diangkat di tempat yang sepatutnya dan tidak dipandang enteng oleh sesetengah pihak.

Pada ketika ini, kita perlu menyedari hakikat bahawa perpaduan dalam kalangan umat Islam sendiri amat rapuh dan nipis. Dengan itu, usaha-usaha untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan umat Islam perlulah diberi perhatian. Perpaduan itu wajiblah didasarkan kepada satu sebab sahaja iaitu AGAMA ISLAM yang suci. Jika ini dapat dicapai, kemungkinan besar lebih mudah kita melangkah setapak lagi iaitu mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum di negara ini.



Menurut seorang penyair Arab zaman pra-Islam, yang dipetik daripada buku Ummah Negara Islam tulisan Muhammad Abdul Rauf, "manusia tidak akan baik dalam keadaan kucar-kacir dan tanpa kepimpinan yang berwibawa. Dan tiada kepimpinan yang berwibawa sekiranya orang-orang jahil yang memimpin." Oleh itu, bagi memandu usaha perpaduan ini, peranan pemimpin yang ikhlas amat diperlukan.

Jika melihat kepada usaha Rasulullah SAW yang dibentangkan di awal makalah ini, jelas baginda memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha menyatupadukan umat Islam, masyarakat Yahudi dan Nasrani berserta masyarakat Quraisy di Mekah. Kebijaksanaan baginda disatukan dengan panduan Allah SWT akhirnya telah memungkin terbentuknya sebuah negara Islam pertama yang aman serta makmur.


~ negara aman, kehidupan penuh keceriaan dengan senyuman ~


Dalam hal ini, pemimpin kini juga perlu mengikut jejak langkah yang sama iaitu menggunakan kebijaksanaan mereka menilai keadaan semasa, mengusahakan kaedah-kaedah serta memohon petunjuk dan hidayah Ilahi dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu. Seharusnya, mereka berpegang kepada prinsip yang dianjurkan al-Subki, seorang penulis biografi tokoh-tokoh dalam Mazhab Shafie, bahawa "Tidak berselisih itu rahmat." Hal ini bermakna elakkan seboleh mungkin perselisihan dan capailah perpaduan. Ini tidaklah bermakna pertentangan pendapat tidak boleh dilakukan tetapi pertentangan tersebut hendaklah diuruskan dengan bijak agar kita tidak dilihat dan dinilai dengan penuh kesinisan.

Akhir sekali, seharusnya umat Islam berusaha menghayati slogan 1Malaysia, 1Ummah dalam konteks perbincangan makalah ini. Moga-moga slogan ini diiringi dengan kefahaman sebenar dan tidak hanya tinggal gah di atas rentangan kain putih di jalanan. 1 Ummah 1 Malaysia,InsyaAllah.

p/s : Nukilan ini hasil karya penulisan sempena Pertandingan Penulisan Esei Maulidur Rasul 2011

Apa yang baik itu datang dariNya, dan yang buruk itu datang dariNya jua tetapi disandarkan kepada diri saya sebagai seorang hambaNya di muka bumi ini. Sebarang ketidak puas hatian mengenai artikel ini diiring dengan 1001 kemaafan. Semoga kita mendapat sesuatu yang bermakna dari perkongsian ini. sekian..

Assalamualaikum..



Tiada ulasan: