Tempah buku 'favourite' anda di sini

Nama:
Umur:
Email:
No telefon
Alamat:
Tajuk buku/Penulis/Penerbit + Kuantiti:
Cadangan penambah baikan:

This contact form was created by Freedback.

Sabtu, November 24, 2012

Kebahagiaan : Rasa Bertuhan, Punca Ketenangan


Kembara Mencari Sebuah Kebahagiaan


Kebahagiaan mahupun ketenangan.
Dua perkara yang selalu menjadi buruan.
Satu cita-cita, impian, malahan harapan setiap insan.
Alangkah indahnya kehidupan, andai jiwa ini sentiasa berpimpinan tangan, didampingi rasa ketenangan, dan kebahagiaan yang tidak bertepian.

Siapa tidak mahu bukan?

Namun, ia bukan semudah yang disangkakan.
Kebahagiaan; Satu frasa kata yang mudah diungkapkan, tetapi sering sahaja disalah tafsirkan.
Akibatnya, kebahagiaan itu seolah-olah menjadi satu angan-angan yang sukar dan tidak kesampaian.

Benarkah sebegitu sukar?
Di manakah silapnya?

Pernah saya terbaca kata-kata yang cukup memberi makna mengenai persoalan ini.

“Hakikatnya manusia bukan tidak mampu mengecapi kebahagiaan hakiki, tetapi manusia itu sendiri tidak pasti apa erti kebahagiaan yang sejati”

Jadi, mari bersama-sama saya.
Menempuh satu kembara, perjalanan mencari kebahagiaan yang kita sama-sama impikan.
Bukan melihat kebahagiaan dari tafsiran insan, tetapi memandangnya dari sudut berlainan.
Pandangan Pemilik Kebahagiaan’, yakni dalam kalamNya Al-Quran.


Sekadar satu perkongsian.
Semoga di akhir nukilan ini, kita sama-sama mampu melakar senyuman,dan tersenyum sendirian.
Mengerti erti kebahagiaan yang sejati,lagi hakiki.

Senyum!

Tersalah Kefahaman, Tersesat Jalan?

Tersesat jalan?


     Sebelum kembara ini bergerak dengan lebih mendalam, mari sama-sama menyelami kehidupan hari ini.
Tafsiran manusia yang tersalah mungkin, dalam mencari kebahagiaan yang mereka impikan.

Dengan memiliki kefahaman,ianya akan melahirkan tindakan.Andai tersilap kefahaman, pasti tersalah juga tindakan bukan?

Lihatlah kehidupan, perhatikan, dan tafsir dengan akal fikiran. 
Betapa ramai mengejar kekayaan, kenamaan, jawatan, dan gelaran dengan harapan semua itu membawa diri mereka pada rasa kesenangan dan kebahagian yang dicari-cari.

Ramai manusia memperoleh kenamaan, akhirnya ada yang membunuh diri.
Ramai manusia memiliki kekayaan, tetapi jarang sekali merasai ketenangan.
Ramai pelajar memperoleh kejayaan dalam pelajaran, jiwa tetap terasa kosong dan gersang.

Lihatlah, impak kebahagiaan sangkaan manusia yang selalu dikejarkan.
Mengapa berakhir dengan peristiwa sedemikian?

Satu persoalan buat diri, juga buat sahabat sekalian.

Sumber Kebahagiaan: Datangnya Dari Luaran?

     Perlu diperincikan di sini, agar kita dapat melihat satu garis pemisah sumber kebahagiaan yang sebenarnya dengan lebih jelas dan mudah.

Kebahagiaan, bukanlah sesuatu bersifat fizikal ataupun lahiriah.Hakikatnya, jelas ia bersifat dalaman ataupun rohaniah.

Ibarat iman yang kian kosong dan gersang, mana mungkin dapat diubati dengan makanan walaupun dengan nasi berpinggan-pinggan.

Jiwa yang tidak sihat, sekadar 'plaster' mampu terubat?  

Sesuatu yang bersifat rohaniah, pasti penawarnya bersifat rohaniah juga.
Begitu juga bagi perkara yang sebaliknya, pasti elemen yang sama sebagai ubatnya.

Maka, jelas dapat kita sama-sama perhatikan bahawa kebahagiaan tidak mungkin mampu dikecapi dengan kekayaan, rupa menawan, jawatan, gelaran, dan semua yang bukan bersifat dalaman.

 Jadi, apakah rahsia sebenar kebahagiaan?
Ayuh, marilah kita sama-sama menyingkap karya cintaNya yang telah diturunkan lebih 1400 tahun dahulu, yakni dalam Al-Quran.

Rahsia Kebahagiaan: Rasa Bertuhan, Punca Ketenangan

     Sumber kebahagian, hakikatnya Allah telahpun menyediakan jawapan buat hambaNya tanpa perlu kita memerah keringat untuk mencarinya.

Al-Quran, sumber rujukan kehidupan
Tinggal kita untuk membaca, memahami, dan menghayati setiap kalamNya.

"...Sesungguhnya dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang."
[Surah Ar-Ra'ad 13:28]

Segalanya sudahpun jelas dirakamkan dalam Al-Quran, tinggal kepada diri kita sama ada mahu menjadikannya sebagai panduan kehidupan mahupun sebaliknya.

Maka, andai jiwa tidak bahagia sebelum ini, sedarlah kehidupan kita yang sebelum ini terlalu jauh daripada rahmat dan kasih sayangNya.
Tidakkah kita merasakannya?
Sedangkan hakikat yang sebenar, Dia sangat dekat!

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (ketahuilah) bahawasanya Aku adalah DEKAT. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila berdo’a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
[Al Baqarah 2:186]
Barangkali dosa kita, menjauhkan lagi jarak kita dengan Maha Pencipta.

Penutup : Perbaiki hati, Temui Kebahagiaan Sejati

     Kesimpulannya, kebahagian sebenarnya terlalu dekat. Malah sangat dekat dari apa yang kita sangkakan. Namun, sejauh mana dekatnya kebahagiaan itu bergantung kepada betapa akrabnya hubungan kita dengan Tuhan. Dekatkan hati ini denganNya, pasti kebahagiaan terasa.

Hakikat yang harus diterima, demi merasai sendiri kebahagiaan sejati bukannya mudah. Segalanya perlukan mujahadah dan istiqamah. Maka, perlunya kebersamaan dalam kita berusaha , agar kekuatan dapat dijana dan dipacu sebaiknya.Membaiki hati, agar iman sentiasa subur di dalam diri.



Akhir kalam, semoga hari-hari yang mendatang mampu kita sama-sama mampu mengukir senyuman dan menggapai kebahagiaan yang kita idam-idamkan.

Kebahagiaan bukan hak milik ekslusif para hartawan, rupawan, mahupun insan berjawatan, kerana ia adalah hak milik semua insan yang jiwanya adanya Tuhan. Ianya milik saya, anda, malahan kita semua.

Selagi mana hatinya subur dengan iman, pasti Allah mencurahkan kebahagiaan!

UNIC - Hakikat bahagia





Tiada ulasan: